Suatu kisah...Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Baru saja muazzin menggaungkan azan, aku melihat seorang wanita. Wanita itu sangatlah cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku memandanginya. Malah dia memberikan anggukan kecil yang misterius dan penuh makna sebelum wanita itu akhirnya berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.
Bagaikan terkena halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau oleh wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid kerana masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan itu ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita misterius tersebut.
Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di depanku. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik cadar hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.
"Siapakah wanita itu?"
Aku mempercepat langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu terlihat masuk. Dan seterusnya wanita itu seperti mengimbau aku, tetapi tetap tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah bergejolak…
"Adakah wanita itu orang gila?"
Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.
Kalaulah aku dalam keadaan normal seperti biasa, pasti aku akan merasa gemetar, tapi aku berfikir, tempat yang sepi seperti ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.
Kalaulah aku tidak terpesona oleh senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih bercadar, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku setuju.
"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan sholatmu untuk mengekoriku kemari?" ujar wanita itu lagi. Aku terdiam.
"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa yang kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, KAU MAHU AKU MEMUASKAN NAFSUMU BUKAN ?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa mulas tatkala tiada bunyi terdengar ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku merasa aneh, kemudian takut.
"TIBA WAKTUNYA UNTUK MELIHAT AKU!", kata wanita tersebut, dan dia mengangkat cadarnya untuk memperlihatkan wajah yang sebenarnya. Bukan wajah cantik seorang gadis remaja, tapi keburukan wajah yang mengerikan, menjijikkan, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya.
"PANDANG AKU SUNGGUH-SUNGGUH!" kata wanita itu lagi.
"NAMAKU ADALAH DUNIA. AKU ADALAH KEKASIHMU. KAU HABISKAN WAKTUMU UNTUK MENGEJARKU.
SEKARANG KAU TELAH MEMILIKI DIRIKU, DI DALAM KUBURMU INI. MARI..!! MARI..!! KEMARILAH KEKASIHKU...!"
Kemudian wanita itu tertawa dan tertawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapanpun menyelubungi suasana, meninggalkan aku dalam ketakutan yang tiada akhir dan penyesalan yang tiada guna.
0 comments:
Post a Comment